Anuar Zain Sebak Terkenang Rakan Lama Mangsa MH370


KUALA LUMPUR – Penyanyi Anuar Zain sentiasa terkenangkan dua rakan lamanya iaitu Ketua Pramugara, Andrew Nari dan penyelia, Patrick Francis Gomes yang berada dalam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang sejak 8 Mac lalu.
Anuar, 44, berkata, walaupun hubungan mereka tidak begitu akrab namun mereka pernah bekerjasama dan kebaikan kedua-dua lelaki tersebut sentiasa diingatinya sepanjang berkhidmat dengan syarikat penerbangan itu dari tahun 1990 hingga 2000.
“Andrew banyak membentuk saya dalam menjadi seorang pramugara yang baik ketika itu dan dia seorang yang cukup merendah diri dan mesra berbanding orang lain.
“Manakala Patrick saya mengingatinya sebagai seorang yang cukup berdedikasi dan sangat mementingkan keselamatan penumpang ketika berada di udara.
“Berita kehilangan MH370 cukup menyentuh perasaan kerana sehingga hari ini saya berasa begitu dekat dengan MAS,” katanya kepada mStar Online.
Anuar ditemui pada majlis sidang di Zebra Square di sini, Selasa berhubung penundaan persembahan Minggu Setiausaha yang disertainya iaitu ‘Terindah… Anuar Zain’
Ia sepatutnya diadakan pada 8 April tetapi terpaksa ditunda kepada 29 April depan. Keputusan itu dibuat bagi menghormati nasib yang menimpa 239 penumpang dan anak-anak kapal pesawat MH370 selain keluarga mereka yang terlibat.
Pesawat MAS yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas sehinggalah ia disahkan berakhir di Lautan Hindi dalam pengumuman tergempar yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada malam Isnin lalu.
Dalam pada itu, Anuar mengakui menangis sebaik sahaja mendapat tahu berita mengenai kehilangan pesawat tersebut.
Anuar berkata, dia juga berasa tertekan mengenangkan nasib yang menimpa kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu dan sentiasa berharap mereka dapat pulang dengan selamat.
“Sebaik sahaja mendapat tahu kejadian itu air mata saya terus mengalir laju dan saya gagal menahan sebak.
“Ia adalah satu masa yang sukar bukan sahaja buat diri saya tetapi seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan keselamatan pesawat itu,” katanya.
Sementara itu kata Anuar, dia berharap orang ramai tidak sewenang-wenangnya menyebarkan khabar angin di laman sosial dan seterusnya mengundang pelbagai presepsi negatif masyarakat.
Jelas Anuar, walaupun telah diumumkan pesawat berkenaan berakhir di Lautan Hindi namun dia berharap masyarakat Malaysia terus mendoakan untuk semua mangsa terlibat seterusnya misteri di sebalik kehilangan MH370 dapat diteketahui.
“Jangan percaya dengan apa yang dibaca di laman sosial atau menyebarkan fakta yang tidak benar sebaliknya tunggu kenyataan rasmi daripada kerajaan mengenai perkembangan selanjutnya mengenai nasib pesawat tersebut,” ujarnya. - mStar Online



Takkan Baca je? Comment La Sikit..