TRAGEDI PESAWAT MH370 MUNGKIN KE HOLLYWOOD, KATA PRODUSER FILEM TERKEMUKA | Misteri kehilangan penerbangan Malaysia Airlines MH370 menarik perhatian masyarakat antarabangsa termasuk beberapa penerbit filem terkemuka Hollywood dan mungkin bakal difilemkan.
Portal berita The Hollywood Reporter dalam laporannya berkata, beberapa produser ketika ini sedang mengikuti perkembangan kehilangan pesawat malang tersebut secara dekat.
"Ia tragedi mengejutkan, bagaimanapun saya jamin terdapat 50 orang berbeza yang sedang bekerja dalam 50 projek berbeza.
"Sama ada mendapat inspirasi daripada insiden itu atau sedang memerhatikannya ketika ini," kata JC Spink, yang terlibat selaku penerbit dalam pembikinan filem aksi penerbangan pada 2005, Red Eye.
Kehilangan Boeing 777-200ER yang membawa 239 penumpang dan anak kapal sejak 8 Mac lalu menarik perhatian seluruh dunia, khususnya kabel berita antarabangsa yang tidak putus-putus membuat liputan.
Sehingga hari ini, bangkai pesawat dan mayat penumpang masih belum ditemui.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pada Isnin penerbangan MH370 itu berakhir di Lautan Hindi selepas dua minggu misi mencari dan menyelamat antarabangsa berlangsung.
Spink berkata, episod dramatik sepanjang usaha mencari dan menyelamat penerbangan MH370 yang dijadualkan berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac sudah cukup untuk menjadikan ia sebuah filem aksi terbaik.
"Jelas sekali sesuatu yang lebih besar dalam penerbangan yang kita tidak akan tahu," kata produser terkenal itu.
"Itu adalah satu batu loncatan yang besar."
Selalunya apabila sesebuah tragedi berlaku, Hollywood akan menunggu hingga tiga bulan sebelum mengambil langkah pembikinan filem, lapor The Hollywood Reporter.
"Saya rasa orang ramai akan tunggu dan lihat bagaimana hasil siasatan nanti," kata Alex Heineman, produser filem aksi penerbangan, Non-Stop yang mencatat keuntungan berjuta ringgit tahun ini.
Namun, The Hollywood Reporter menjangkakan mana-mana pihak yang ingin menghasilkan filem berdasarkan kehilangan MH370 akan berdepan halangan memandangkan siasatan bagi mengenal pasti punca kehilangan masih berjalan serta rumit selain terdapat juga kesamaran dalam pendedahan maklumat oleh pihak berkuasa Malaysia.
Penerbangan MH370 dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari sama.
Operasi mencari pesawat itu, melibatkan pelbagai negara dilancarkan, pada mulanya di Laut China Selatan dan kemudian, setelah didapati pesawat itu mengubah laluannya, di dua koridor - koridor utara yang merentas dari sempadan Khazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi.
Hasil analisis terhadap data satelit yang belum pernah dibuat sebelum ini, syarikat dari United Kingdom Inmarsat dan UK Air Accidents Investigation Branch (AAIB) membuat rumusan bahawa Pesawat MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia.
Beberapa episod melibatkan penumpang MH370 menjadi tanda tanya sehingga ini, antaranya dua penumpang memegang passport curi, juruterbang memiliki simulator penerbangan di rumah, bateri litium di dalam kargo dan pelbagai spekulasi yang masih belum terjawab.
Fokus kini mencari bangkai pesawat dan mendapatkan kotak hitam bagi merungkai persoalan di sebalik kehilangan MH370. - 27 Mac, 2014. -The Malaysian Insider
Takkan Baca je? Comment La Sikit..