MH370: Anak Ketua Pramugara Terima Jersi Bertandatangan Pengurus Bola Liverpool


Remaja Maira Elizabeth Nari, yang ayahnya antara yang berada di dalam penerbangan Malaysia Airlines MH370 dengan tulisan di Twitter yang menyentuh perasaan orang ramai, menerima jersi Liverpool yang ditandatangani pengurus pasukan itu, Brendan Rogers dan pemain-pemainnya, sebelum perlawanan mereka menentang Manchester City malam ini.
Ayah Maira, Andrew Nari merupakan peminat tegar kelab Liga Perdana Inggeris itu. Beliau merupakan ketua pramugara dalam penerbangan MH370 yang hilang sejak 8 Mac.
“Saya akan meletakkan jersi ini ke dalam bingkai gambar. Ayah, ini untuk ayah. Saya yakin ayah orang yang paling gembira di dunia sekarang,” kata laporan Liverpool Echo tentang tweet Maira.
“Semoga Liverpool sentiasa berada di tempat pertama carta, dan harap Liverpool menang musim ini untuk ayah, untuk kami dan peminat. Semoga Tuhan memberkati semua dan terima kasih. Saya amat berterima kasih.”
Dalam tweetnya, Maira juga berterima kasih kepada tiga rakyat Malaysia yang pergi ke Anfield baru-baru ini untuk menonton perlawanan Tottenham dan menguruskan supaya pengurus kelab dan beberapa pemain untuk menandatangani jersi itu untuknya.
“Saya tidak tahu bagaimana hendak berterima kasih kepada semua, dan ia sangat bermakna dan benar bahawa ‘You’ll Never Walk Alone’,” katanya dalam tweetnya.
Peminat Liverpool di serata dunia menyokong Maira selepas dia memuat naik post tentang ayahnya di Twitter semasa perlawanan Manchester United-Liverpool lebih dua minggu lalu.
“Ayah, Liverpool sedang menang perlawanan. Pulang ke rumah supaya ayah boleh tonton perlawanan! Ayah tidak pernah terlepas bola sepak. Ini kali pertama. :’)” katanya dalam Twitternya @Gorgxous_.
Laman rasmi Liverpool melaporkan tweet Maira dibalas dengan ucapan sokongan dan harapan daripada kawan dan orang ramai.
Liverpool memenangi perlawanan tersebut dengan 3-0.
Tweetnya mencapai 3,764 retweet dan dikongsi oleh akaun Twitter Liverpool FCl dan laman Facebook.
Kelab bola sepak itu menulis tweet kepada Maira: @LFC: @Gorgxous_ Sahaja untuk memberitahu anda kami sedang memikirkan ayah anda dan mereka yang hilang dalam penerbangan #MH370. Tabahlah. YNWA.”
Sokongan daripada peminat Liverpool
Di bawah merupakan sebahagian daripada beratus-ratus mesej sokongan yang ditulis pada laman rasmi Facebook Liverpool untuk Maira.
Nadia A Zawawi: “Saya datang dari Malaysia (dan menetap di Dublin), dan saya sudah menghubungi Maira, dia sedang cuba mengekalkan sifat positifnya. Doa kami kepada kru penumpang penerbangan serta keluarga mereka. YNWA. #PrayForMH370.”
Dan Cahill: “Saya harap dia dan yang lain dijumpai selamat dan semoga diberkati Tuhan, anak perempuan saya juga akan berkata begitu untuk saya, anda teruskan mengikuti (pemain Liverpool) supaya anda boleh ceritakan kepada ayah anda! x YNWA.”
Vicky Roberts: “Semoga Tuhan memberkati anak perempuan ini. Tuhan memberkati kru penerbangan ini, sedihnya! Kepada semua ahli Reds Malaysia, kami menyokong anda YNWA!”
Renny Whitehead: “Oh ini sungguh menghancurkan hati. Sebagai peminat Liverpool dan pramugara, ia menolong saya memahami lagi bagaimana seksanya ahli keluarga mereka. Doa saya dengan mereka yang terlibat. You’ll Never Walk Alone.”
Jason Howard: Sebagai seorang ayah yang tidak pernah terlepas perlawanan bola sepak dengan anaknya… ini yang paling terharu pernah saya baca… YNWA!”
Mohd Shahrul Nazrin: “Kami bukan sahaja satu pasukan, tetapi satu keluarga yang besar. Pasukan terbaik dunia #LFC #YNWA daripada Malaysia :’) Sayang kamu semua dan terima kasih banyak. Harap #MH370 akan pulang ASAP.”
Amy Vieira: “Amat mengharukan… doa saya dengan semua yang terlibat dengan keadaan ngeri ini… masih berharap hasil yang terbaik #PrayForMH370 #YNWA.”
Peminat Liverpool yang ingin menghantar tweet kepadanya boleh melakukannya pada @Gorgxous_ atau lawati laman rasmi Liverpool.
Maira juga menyentuh hati ramai warga Internet dengan tweetnya pada hari pesawat itu hilang.
“Tuhan… Satu yang saya mahu ialah ayah saya… tiada yang lain selain ayah saya. Saya mahukan ayah saya kembali,” tweetnya.
Sehari kemudian dia bertweet,” Ayah! Ayah di dalam semua akhbar dan berita. Baliklah cepat supaya ayah boleh bacanya, ayah tidak teruja ke?”
“Ayah. Sudah hampir 48 jam. Jangan lupa makan malam. Ayah mesti kelaparan.”
“Baliklah cepat, ayah… ini sahaja yang saya mahukan.”
Dalam tweetnya, Maira teringat bagaimana ayahnya akan memintanya masuk tidur.
Dia menulis: “Selalunya pada masa ini, sebelum ayah masuk tidur, dia akan beritahu saya, ‘Jangan tidur lambat sangat ya’. Selamat malam ayah.”
Tweet Maira untuk ayahnya yang hilang menarik minat beratus lagi pengguna Twitter.
Tweetnya selalunya dikongsi beratus-ratus dengan mesej harapan, kebimbangan dan doa yang ditujukan kepada keluarganya.
Sejumlah 12 ahli krew dan 227 penumpang berada di dalam Boeing 777-200ER apabila ia berlepas dari Kuala Lumpur dalam perjalanan ke Beijing.
Usaha mencari sedang diteruskan di Lautan Hindi selepas beberapa laporan bahawa isyarat denyutan dikesan, meningkatkan harapan tentang kotak hitam dan perakam penerbangan yang mungkin dapat dicari dan mendedahkan nasib pesawat tersebut.



Takkan Baca je? Comment La Sikit..