Bagaimana Clash Of Clans Jana $1.5 Juta Sehari

$1.5 juta sehari adalah pendapatan Clash of Clans (CoC) hanya daripada platform iPhone. Ia belum termasuk pendapatan yang dijana di platform Android. Mengikut sumber, CoC mendapat angka pendapatan tertinggi bagi sehari berbanding aplikasi permainan lain yang turut ada di platform iPhone.
Bagaimanakah CoC, satu aplikasi permainan yang boleh dimuat turun secara percuma oleh pengguna ini dapat menjana keuntungan sebanyak $1.5 juta sehari?
Rahsianya terletak pada bagaimana SuperCell, syarikat yang telah mencipta CoC ini telah menyempurnakan model “freemium” di mata pengguna.
Apa itu Clash of Clans?
Clash of Clans atau singkatannya CoC adalah sebuah aplikasi permainan bercorakan strategi peperangan yang mula menjadi kegilaan pemain-pemain permainan online sejak 2012. CoC boleh dimainkan di telefon pintar dan tablet secara percuma. Pemain-pemain boleh mengarahkan dan mengembangkan pembangunan kampung mereka. Malah, pemain-pemain boleh membuka kunci pahlawan-pahlawan dan pertahanan yang lebih kuat dan berkuasa, melancarkan serangan dan merampas sumber-sumber daripada kampung-kampung lain, mencipta dan menyertai suku kaum dan pelbagai lagi aktiviti yang menarik.
Model Freemium Clash of Clans
Keseluruhan permainan CoC boleh dimainkan tanpa langsung perlu membelanjakan wang. Segala ciri CoC dibuka buat semua pemain tanpa perlu membeli apa-apa. Ia boleh didapati dengan usaha-usaha pemain memenangi setiap tugasan dan fasa permainan. Itulah nilai freemium yang dianjurkan oleh SuperCell. Ia percuma dan ciri-ciri premium CoC boleh digunakan oleh semua pemain.
Namun begitu, ketidaksabaran pemain untuk menjadi yang terhebat dan terkuat memainkan peranan penting dalam menjana keuntungan buat SuperCell. Pemain-pemain diberikan pilihan untuk membeli secara digital dengan menggunakan wang sebenar di Apple App Store/Google Play Store dalam bentuk In-App Purchases (belian dalam aplikasi). Ia adalah sebagai sebahagian daripada usaha untuk memenangi permainan ini.
Punca Pemain Melakukan Belian Dalam Aplikasi
Apabila pemain mula memainkan CoC, pemain itu akan menerima 500 permata percuma. Apabila pemain sudah tamat tutorial, pemain akan kehilangan 50 permata kerana menyiapkan struktur-struktur yang diarahkan di dalam tutorial. Builder pertama adalah percuma, tetapi Builder yang seterusnya memerlukan pemain menggunakan permata sebagai tukaran. Nilaiannya seperti berikut:
i) Builder 2: 250 permata
ii) Builder 3: 500 permata
iii) Builder 4: 1000 permata
iv) Builder 5: 2000 permata
Selain Builder, perlindungan percuma hanya bertahan untuk tiga hari sahaja. Sekiranya pemain mula menyerang pemain lain, automatik perlindungan percuma itu akan hilang. Tapi ramai pemain mencadangkan agar dilakukan serangan ke atas pemain lain kerana itu satu cara paling mudah untuk mendapatkan sumber yang penting untuk troops dan bangunan. Kemudian, pemain boleh menggunakan troops untuk menyerang lagi pemain lain.
Ia adalah satu kitaran proses permainan yang tiada kesudahan. Pemain akan sentiasa perlu membina, melindungi dan mencuri untuk hidup di dalam ekosistem CoC yang dicipta oleh SuperCell ini. Proses-proses ini boleh dipercepatkan dengan penggunaan permata.
Fungsi Permata
Permata adalah matawang CoC. Permata dikurniakan setelah pemain berjaya mencapai kejayaan, atau menyempurnakan tugasan atau diberikan secara rawak apabila membersihkan halangan di dalam kawasan pemain. Bagaimanapun, cara utama untuk mendapatkan sejumlah permata yang banyak adalah menerusi belian dalam aplikasi yang memerlukan pemain membelinya dengan matawang sebenar.
Permata penting untuk mempercepatkan setiap aspek permainan CoC, daripada tempoh masa pembinaan ke latihan troop dan pembinaan makmal kajian. Permata juga digunakan untuk membeli lebih banyak sumber dan Builder. Jadi, mengapa pemain perlu tunggu lama sedangkan pemain diberikan peluang untuk membeli sejumlah permata?
Komuniti Clash of Clans
Selain permainan yang menyeronokkan dan menyebabkan ketagihan untuk menang dan terus menang, SuperCell turut membantu membina rangkaian kumpulan sosial (clans) yang terdiri daripada pemain-pemain tegar CoC sehingga mereka mempunyai laman web mereka sendiri, surat perlantikan dan hierarki.
Ini menunjukkan CoC adalah satu komuniti yang “hidup”. Kaedah ini juga membentuk pengikut-pengikut setia CoC yang dahagakan tips, updates dan ciri-ciri CoC yang lebih baik dari semasa ke semasa.



Takkan Baca je? Comment La Sikit..