Jawapan Dari Mufti, Hukum Menggunakan "2-Wheel Smart Scooter" Atau Segway Semasa Tawaf



Semalam kami ada menyiarkan video di mana menunjukkan seorang lelaki menggunakan 2-Wheel Smart Scooter ketika melakukan tawaf semasa menunaikan haji.

Kerana video berkenaan ramai yang mempertikaikan penggunaannya jika si penggunanya adalah seorang yang sihat tubuh badan.

Hari ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri telah menghuraikan hukum penggunaan kenderaan tersebut yang ditulis dalam Irsyad fatwa ke 89 mengenai hukum tawaf menggunakan Segway/Mini Segway.

Muqaddimah

Saya telah ditanya berkenaan dengan isu tawaf menggunakan sejenis alat moden yang dikenali dengan nama mini-segway ataupun hoverboard. Justeru, dalam Irsyad al-Fatwa kami kali ini akan membincangkan isu ini secara khusus.

Segway / Mini-Segway

Segway / Mini-segway adalah alat moden beroda dua yang digerakkan menggunakan kuasa bateri. Ianya telah direka oleh Dean Kamen dan alat ini telah dikeluarkan oleh syarikat Segway Inc.

Untuk menggunakannya, penunggang perlulah pandai mengimbangkan diri dan alat ini dilengkapi dengan sensor dan juga beberapa ciri yang lain. Alat ini mampu mencecah kelajuan sehingga 20.1 km/j. Kini ianya telah diinovasikan dan terdapat dalam keadaan yang lebih kecil dan ringkas dinamakan sebagai mini-segway. Sistem pergerakannya sama cuma ianya tidak mempunyai pemacu seperti Segway yang asal.

Hukum Menggunakan Alat Tersebut

Melihat kepada nas-nas yang Nabi SAW pernah tawaf dalam keadaan menunggang di atas unta, Ibn Abbas R.Anhuma meriwayatkan:

أنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم طَافَ فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ عَلَى بَعِيرٍ يَسْتَلِمُ الرُّكْنَ بِمِحْجَنٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW telah tawaf pada haji al-wada’ (haji perpisahan) di atas unta dan beristilam di rukun dengan tongkatnya”.

Riwayat Muslim (1272), Abu Daud (1877), Al-Nasa’i (173), Ibn Majah (2948)


Begitu juga dengan hadis Umm Salamah R.Anha yang berkata:

شَكَوْت إلَى رَسُولِ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - أَنِّي أَشْتَكِي، فَقَالَ: طُوفِي مِنْ وَرَاءِ النَّاسِ، وَأَنْتِ رَاكِبَةٌ

Maksudnya: Aku mengadu kepada Rasulullah SAW yang aku kurang sihat. Maka jawab Baginda SAW: “Tawaflah belakang orang ramai dan kamu sedang dalam menunggang.”

Riwayat al-Bukhari (1633), Muslim (1276)


Di dalam hadis Jabir R.A:

طَافَ النَّبِيُّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - عَلَى رَاحِلَتِهِ، بِالْبَيْتِ، وَبَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ، لِيَرَاهُ النَّاسُ، وَلِيُشْرِفَ عَلَيْهِمْ، لِيَسْأَلُوهُ، فَإِنَّ النَّاسَ غَشُوهُ

Maksudnya: Nabi SAW telah tawaf di atas tunggangan di Ka’abah, sa’i di antara Safa dan Marwah, orang ramai melihatnya dan Baginda dapat menyelia untuk mereka bertanya kepada Baginda, maka sesungguhnya orang ramai mengerumuni Baginda.

Riwayat al-Nasa’I (2975)

Berdasarkan nas-nas, jelas menunjukkan kebolehan untuk melakukan tawaf dengan menggunakan kenderaan dan tunggangan (pada waktu itu), tetapi antara sebabnya ialah:

kerana untuk membimbing orang ramai.
kerana untuk orang ramai dapat mengikuti dan mempelajari.
kerana uzur atau sakit.


Justeru, hukum menggunakan alatan tersebut adalah harus. 

Pendapat Ulama

Di dalam isu ini, terdapat tiga pendapat ulama’ yang utama membincangkannya:

• Pendapat pertama: Sebahagian ulama’ seperti Al-Khiraqi mengatakan bahawa hukum tawaf menggunakan kenderaan atau di bawa tanpa uzur adalah tidak memadai. Ini juga merupakan satu pendapat dalam riwayat Ahmad dan alasannya kerana Nabi SAW bersabda:
الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ صَلَاةٌ
Maksudnya: Melakukan tawaf di Ka’bah adalah solat.
Riwayat al-Nasa’i (2922)
Oleh kerana tawaf merupakan ibadah yang berkaitan dengan ka’bah maka tidak harus dilakukannya dengan menaiki kenderaan tanpa uzur seperti solat. [Al-Mughni. Maktabah al-Kaherah, 3/358]

• Pendapat kedua: Yang masyhur adalah memadai dan dikenakan dam dan ini adalah pendapat Malik dan Abu Hanifah kecuali Abu Hanifah menambah sekiranya seseorang itu masih berada di Mekah perlu diulang tawafnya itu dan sekiranya sudah pulang, maka hendaklah membayar dam. [Al-Hawi al-Kabir. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 4/151], [Al-Majmu’. Dar al-Fikr, 8/27].

• Pendapat ketiga: hukumnya adalah memadai dan tidak dikenakan dam. Ini ialah pendapat Abu Bakar, mazhab Syaf’ie dan Ibn al-Munzir. Mereka beralasan dengan mengatakan Nabi SAW telah tawaf dalam keadaan menunggang.
Ibn al-Munzir berkata: “Tidak diterima pendapat seseorang setelah adanya perbuatan daripada Nabi SAW kerana Allah SWT telah perintahkan tawaf secara mutlak. Maka dengan cara mana sekalipun ianya memadai dan tidak harus taqyidkan yang mutlak tanpa dalil.” [Al-Mughni. Maktabah al-Kaherah, 3/358]

Tarjih

Setelah melihat ketiga-tiga pandangan di atas, kami cenderung kepada pendapat yang mengharuskannya selaras dengan mazhab Syafi’e, Ibn al-Munzir dan ramai lagi kerana nas yang sahih lagi sarih (jelas) menunjukkan kearah itu.

Walaupun begitu, beberapa kriteria perlu difahami dan diraikan:
• Tawaf secara biasa (berjalan) jauh lebih afdhal (baik) dan aula (utama) kerana ia merupakan perbuatan Nabi SAW pada kebanyakan keadaan dan juga para Sahabat.
• Raikan adab tawaf dengan sebaik mungkin.
• Penuhi syarat-syarat tawaf agar tidak terbatal.
• Jauhi dari riya’, ‘ujub dan niat bermegah ketika menggunakannya.
• Jangan sesekali melanggar orang ramai atau menyakiti mereka.
Semoga dengan pencerahan ini dapat memberikan kefahaman sebaik mungkin mengenai hukum tawaf menggunakan segway / mini-segway

Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
18 Zulkaedah 1436H bersamaan 2 September 2015.


sumber



Kerja Kosong said...
This comment has been removed by a blog administrator.

Takkan Baca je? Comment La Sikit..