Baru-baru ini, kelab Rayo Vallecano mengejutkan dunia bola sepak apabila memperkenalkan jersi pasukan mereka yang berwarna pelangi. Ada yang menganggapkannya cubaan berani dan ramai yang berkata ia buruk.
Tapi, jika anda tahu cerita disebaliknya, ia sebenarnya agak menarik.
Setiap warna di pelangi jersi Rayo Vallecano mewakili maksud tertentu; kanser (merah), kekurangan upaya (jingga), alam sekitar (hijau), penderaan kanak-kanak (biru) dan keganasan domestik terhadap wanita (merah jambu).
Keseluruhan warna-warna ini pula membentuk warna pelangi sebagai simbol bantahan Rayo Vallecano terhadap homofobia.
Apa yang menarik, €7 dari setiap pembelian jersi ini akan disumbangkan kepada badan-badan amal yang melindungi mangsa isu yang disebutkan di atas.
Ia adalah cubaan berani daripada Rayo Vallecano. Namun bagaimana pula dengan cubaan berani dari kelab-kelab lain yang gagal?
Kami akan kongsikan dengan anda, 8 jersi bola sepak terpelik pilihan kami.
8. La Hoya Lorca (2012/13)
Bagaimana reaksi anda jika jersi bola sepak pasukan anda berwarna hijau gelap dan bermotifkan sayuran brokoli? Ya, brokoli!
Itulah yang berlaku kepada kelab divisyen ke-3 Sepanyol, La Hoya Lorca.
Kelab yang berpengkalan di Murcia – yang terkenal dengan industri pertanian sayuran sehingga dikenali sebagai ‘ladang sayuran Sepanyol’ – itu mengambil motif sayur brokoli sebagai sumber inspirasi rekaan jersi mereka.
Sejak memakai jersi berwarna hijau brokoli tersebut, mereka telah berjaya memjuarai liga divisyen ke-4 dan seterusnya mara ke divisyen ke-3.
Dikhabarkan pada musim ini, mereka melancarkan jersi dengan warna dan corak yang sama (hijau brokoli) kerana ia amat laris di kalangan peminat mereka.
7. Porto (2015/16)
Baru-baru ini, Porto telah melancarkan jersi terbaru untuk musim 2015/2016 akan datang. Bagaimanapun sambutan peminat Porto terhadap jersi away mereka yang berwarna coklat ini menghampakan.
Kali terakhir jersi berwarna coklat disaksikan di pentas utama Eropah adalah pada sekitar tahun 1970-an yang dipakai oleh pasukan Conventry City, yang juga dikritik hebat peminat mereka ketika itu.
Menurut Richard Wright, pengurus jualan New Balance, mereka cuba menampilkan kelainan dalam rekaan terbaru mereka dan warna coklat itu telah dipilih.
Kata-kata beliau dilihat tepat kerana pasukan Porto tidak pernah pun mengenakan warna coklat sebagai warna kit rasmi mereka sejak penubuhan kelab tersebut.
Dengan memadankan warna coklat dengan warna biru terang di bahagian dada, ia memang kelihatan buruk.
Menurut undian online yang telah dijalankan, 88% peminat Porto tidak sukakan pilihan warna ini!
6. Cultural Leonesa (kit ulangtahun ke-90 kelab, 2014)
Apabila kelab anda menyambut ulang tahun mereka yang ke 90, apa lagi cara terbaik untuk menunjukkan penghargaan kepada sokongan minat selain memperkenalkan jersi yang hebat?
Itulah yang dilakukan oleh kelab Cultural Leonesa pada kit mereka tahun lalu – dengan memakai jersi tuxedo!
Anda mungkin akan mentertawakan jersi (dan kewarasan) mereka. Namun rekaan jersi ini sebenarnya mempunyai cerita yang tersendiri.
Ia adalah jersi khas yang Hummel keluarkan demi membantu keluarga-keluarga pelombong di kawasan berkenaan.
Menurut Henning Nielson, pengurus pemasaran Hummel, mereka berasa terpanggil untuk melakukan satu inisiatif untuk membantu keluarga pelombong di sana yang sedang melalui saat-saat sukar.
“Kami mahu menyelami budaya dan tradisi kelab ini, mencari apakah yang hampir dengan jati diri mereka dan serapkan dalam rekaan kami.”
“Kelab ini bakal menyambut ulang tahun mereka yang ke-90. Jadi daripada mengadakan parti formal dengan wain, minuman dan makanan, kelab ini memutuskan untuk melakukan sesuatu yang diluar kebiasaan. Semangat parti ini kami tonjolkan melalui pembikinan jersi tuxedo ini.”
Di samping itu, kelab ini juga turut mendermakan 10% dari keuntungan penjualan jersi tersebut kepada badan amal yang menjaga kepentingan keluarga pelombong di sana.
Jersi ini masih lagi dijual pada hari ini, namun jumlahnya terhad kerana ia adalah edisi terhad.
5. Club Deportivo Lugo (2014/15)
Kami juga masih tertanya-tanya; bagaimana design jersi CD Lugo musim lepas ini boleh terhasil?
Adakah kerana ditaja oleh sebuah syarikat minuman keras, maka mereka bebas mengenakan imej ‘mabuk’ pada jersi berkenaan?
Jika jersi home mereka menayangkan gambar bir, imej tentakel sotong pula menghiasi jersi away mereka.
Ada yang mengatakan bahawa hidangan sotong dan minuman bir merupakan makanan yang popular di kawasan kelab ini, namun kami tetap merasakan ia sangat salah. Pendapat kami disokong oleh peminat kelab mereka sendiri apabila mendapat sambutan yang sangat teruk dari segi rekod jualan.
Sekurang-kurangnya, pihak pengurusan kelab harus faham yang peminat tidaklah ‘semabuk’ mereka.
4. Colorado Caribous (1978)
Menurut pengkaji fesyen, era 70-an merupakan zaman gelap fashion dunia dan ia juga turut melibatkan fesyen dalam bola sepak.
Antara fesyen jersi yang paling menonjol pada era ini adalah jersi pasukan Colorado Caribous “Cowboy” dari Amerika Syarikat pada tahun 1978.
Dengan bertemakan ‘ingin menghidupkan kembali budaya lama Amerika’, mereka mengenakan jersi berwarna hitam dan coklat cair utuk tampil kelihatan ala-ala koboi dengan mempunyai rambu-rambu di bahagian dada. Wow.
Pasukan ini bagaimanapun tidak bertahan lama. Hanya bertahan selama satu musim sahaja di NASL (Liga Bola Sepak Amerika Utara), mereka merekodkan 22 kekalahan dari 30 perlawanan.
3. VfL Bochum (1997)
Untuk pengetahuan anda, Rayo bukanlah kelab pertama yang mempunyai pelangi di jersi mereka. Pada tahun 1997, VfL Bochum sudah mengenakan warna-warna pelangi ini di jersi home, away dan juga jersi penjaga gol mereka.
Faber, yang merupakan pemilik syarikat loteri kebangsaan Jerman, merupakan penaja utama bagi kelab tersebut. Selepas bertahun-tahun menaja Bochum, mereka merasakan jenama mereka perlu kelihatan lebih menonjol di jersi kelab bola sepak tersebut.
Jadi, mereka memperkenalkan warna pelangi di jersi mereka untuk menarik lebih perhatian- dan ia berjaya. Jersi Bochum yang mempunyai pelangi ini mendapat sambutan yang baik dalam kalangan peminat mereka selama bertahun-tahun.
Apa yang lebih menarik, jika anda perhatikan tiada logo pengeluar jersi tersebut kelihatan.
Ia menjadi misteri kerana jersi tersebut tiada sebarang logo pengeluar. Ada yang berpendapat bahawa syarikat Faber sendiri yang menerbitkan kit berkenaan secara khas.
2. 1860 Munich (kit ulangtahun Ke-150, 2010)
Pada tahun 2010, kelab 1860 Munich menyambut ulang tahun mereka yang ke 150. Mereka berpendapat cara terbaik untuk menyambutnya adalah dengan memperkenalkan jersi hebat yang bakal diingati untuk jangka masa yang panjang.
Mereka telah berjaya lakukannya, namun untuk sebab yang salah kerana jersi mereka kelihatan terlalu pelik.
Jersi mereka dipenuhi dengan kekayaan sejarah kelab.
Namun ia terlalu sarat dengan gambar kolaj dalam tona hitam dan biru. Sukar untuk melihat logo kelab dan lebih sukar untuk melihat logo pengeluar kit berkenaan.
Jika rekaan kolaj berkenaan tidak cukup serabut, jersi ini juga diperkenalkan dengan rekaan kolar tahun 1970-an dan dikontrakan pula dengan warna emas pada bahagian lengan.
Jersi yang sepatutnya menjadi kenangan manis untuk peminat, telah berubah menjadi sebuah igauan negeri.
Apa yang paling menarik adalah jersi ini boleh diterbalikkan (inside out). Dan apabila diterbalikkan, versi jersi warna hijau dan emas ini kelihatan jauh lebih baik!
1. Cameroon (2004)
Pada African Nation Cup 2004, Cameroon dikatakan telah memakai onesie, sejenis baju yang beserta seluar. Pemakaian jersi ini membantu mereka memenangi kejohanan tersebut.
Tetapi mereka kemudiannya dihukum oleh FIFA kerana melanggar peraturan.
Menurut undang-undang FIFA, setiap pemain haruslah memakai pakaian asas bola sepak iaitu jersi atau baju, seluar pendek, stokin, shinguard dan kasut.
Keingkaran itu membuatkan Cameroon ditolak 6 mata dari pusingan kelayakan Piala Dunia serta denda sebanyak US $154,000.
FIFA ternyata berang dengan keputusan Cameroon untuk memakai onesie terbabit dalam pusingan kalah mati African Nation Cup, walaupun pada mulanya mereka dibenarkan memakainya dalam pusingan kelayakan kumpulan.
Ia bukan sesuatu yang baru buat Cameroon. Pada tahun 2002, mereka pernah dipalit kontroversi kerana bermain dengan jersi bola sepak tanpa lengan (sleeveless).
Takkan Baca je? Comment La Sikit..